Saturday, October 30, 2010

HARI PERTAMA



Hari ini saya bermula dengan tugasan pertama selepas berpindah dari Taiping. Saya menganggap ini adalah permulaan yang baik bagi saya memandangkan saya agak baru dalam bidang ini. Tiba-tiba saya teringat cerita daripada kawan saya, Azmean tentang "otai" dalam bidang fotografi. Perlukah ada otai dan perlukah menganggap diri sebagai otai? Saya suka memerhatikan gelagat dan sikap orang. Daripada pemerhatian walaupun sekejap, sedikit sebanyak kita boleh menilai kematangan orang tersebut, dan tujuan saya bukanlah untuk membandingkan dengan orang lain, tapi sekadar untuk dijadikan panduan dan mencermin diri, sebab ada orang lain yang akan memerhatikan kita. Pendapat saya, ada dua kategori manusia dalam bidang ini yangm menganggap diri sebagai otai:

1) Orang baru seperti saya:
Sesetengah orang akan terlalu excited pada peringkat permulaan dalam bidang fotografi, sehinggakan tidak sabar-sabar untuk mendapatkan foto yang terbaik. Maka setiap ceruk ruang yang ada akan dicerap. Suatu yang sangat bagus pada pendapat saya. Namun, yang kurang bagus adalah apabila dia lupa untuk melihat bahawa fotografi adalah bidang yang tersangat luas, dan banyak lagi yang dia perlu ketahui. Oleh kerana lebih gemar mencipta gambar daripada mengkaji, maka sesetengah gambar tersebut sangat tidak berkualiti. Maaf, saya juga kadang-kadang begitu, tapi saya tidak akan menganggap hasil saya itu terbaik berbanding dengan orang lain. Sesetengah orang baru menganggap hasil karya mereka adalah terbaik kerana mereka tidak melihat pada hasil karya orang yang lebih berpengalaman. Jadi mereka beranggapan bahawa hasil karya mereka patut diberi pujian dan lama-kelamaan lahir lah sifat angkuh. Pernahkan anda terjumpa seseorang yang mahu hasil karyanya diberi komen, tapi bila kita berikan komen, komen kita dianggap tidak betul? Ini adalah permulaan sikap angkuh, sikap yang hanya mahukan pujian melambung dan sebarang kritikan adalah tidak benar. Ini adalah sikap otai.


2) Orang lama dalam bidang fotografi:
Juga, orang lama mempunyai sikap angkuh yang tersendiri. Bukan semuanya, ada segelintir yang mahu diberi penghormatan atas dasar beliau lebih lama dalam bidang ini (seperti pepatah melayu, lebih dahulu makan garam). Orang-orang ini tidak senang melihat 'budak-budak' baru bermain kamera tanpa namanya dikaitkan lebih-lebih lagi bila beliau dekat dengan budak-budak baru ini. Maka mula lah melenting bila beliau tidak dikenali oleh budak-budak baru ini.
Pada saya melenting untuk apa? Fotografi adalah bidang universal, setiap manusia ada hak sendiri untuk bermain dengan kamera dan belajar tentang fotografi tanpa perlu mengenali orang lama. Mengenali orang lama adalah berbeza dengan mengenali ilmu fotografi. Yang perlu dikenali dan diberi penghormatan adalah orang yang berpengetahuan. Bagaimana mengetahui bahawa orang tersebut berpengatahuan? Lihat pada hasil karyanya. Orang lama tidak semestinya menghasilkan karya yang berkualiti. Jadi perlukah orang lama ini memaksa budak baru jika hasil karyanya tidak seberapa? Maaf, saya tidak bermaksud untuk menujukan pada individu secara spesifik, ini hanyalah penilaian dan pendapat saya, ia mungkin tidak benar dan mungkin juga benar. Azmean pernah beritahu saya "respect ni tak boleh dipaksa-paksa" dan saya akan ingat ayat ini. Jika anda ingin dihormati, tunjukkan contoh terbaik pada budak baru seperti saya, dan berkarya lah dengan penuh kematangan.

Di awal entri ini, saya tidak bermaksud untuk menulis perkara ini, tapi hari ini saya dengan tidak sengaja telah berdepan dengan orang lama seperti di atas, dan itulah yang saya alami, dia seolah-olah memaksa saya untuk menyanjungnya walaupun kami tidak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini.

P/S: Dulu saya juga adalah OTAI. O-rang TAI-ping.

Luqmanaziz
10.06pm

Friday, October 29, 2010

SELAMAT TINGGAL




Saya dengan rasminya mengucapkan Selamat Tinggal kepada Taiping yang saya rasa adalah tempat yang paling hebat yang pernah saya duduki. Saya mula menjejak kaki ke Taiping pada awal 2006 apabila mendapat kerja pertama saya selepas graduasi. Hampir 5 tahun di sana, saya merasakan tidak ada tempat lain secantik, seunik dan seindah Taiping. Mungkin ada seseorang yang perasan kata-kata yang saya selalu ucapkan, "setiap kali melalui taman tasik Taiping, setiap kali itu juga saya katakan ia taman tasik terindah pernah saya kunjungi". Pun begitu, saya tetap akan kunjungi Taiping memandangkan banyak tugasan yang belum selesai di sana. Tapi secara beransur-ansur, hidup baru saya akan bermula di tempat lain. Terima kasih Taiping, jika anda bertanya tentang sahabat, cinta, keazaman, setiakawan, hormat-menghormati, kejujuran, dan keindahan, saya akan katakan "itulah Taiping".

Luqmanaziz
10.32pm

Wednesday, October 27, 2010

PORTRAIT